Program Latihan Tenaga Pengajar (ToT) - Shopee x MCMC
15 September 2020 | Aktiviti TerkiniSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak Shopee buat pertama kalinya telah mengadakan Program Latihan Tenaga Pengajar (Train the Trainers, ToT) melalui Universiti Shopee yang berlangsung secara dalam talian di Pusat Internet masing-masing. Bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sesi latihan dilaksanakan secara dalam talian dan mampu menampung penyertaan melebihi 150 peserta pada satu-satu masa.
Objektif program ini adalah untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat Pandemik COVID-19 sehingga berlaku kemerosotan di dalam pertumbuhan ekonomi negara. Lantas, program ini diwujudkan sebagai sebahagian tanda sokongan di dalam kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” dengan mengetengahkan produk jualan usahawan tempatan ke platform e-dagang khususnya usahawan-usahawan di sekitar Pusat Internet (PI).
Program ini terbahagi kepada dua sesi pembelajaran iaitu Shopee "Asas: Mulakan Bisnes e-Dagang Anda Bersama Shopee x MCMC" yang berlangsung pada sebelah pagi bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari. Sesi pembelajaran kedua pula merangkumi kelas pertengahan di mana memfokuskan "Teknik Pemasaran Kedai Shopee x MCMC" yang dijalankan selama 2 jam bermula pada pukul 2 petang. Kedua-dua sesi pembelajaran dikendalikan oleh Encik Fazidin Bin Zainal Abidin selaku wakil Pembangunan Perniagaan Shopee menerusi telesidang dengan mengakses pautan Webinar yang diberikan di dalam notifikasi emel.
Antara perkara yang dipelajari di peringkat awal kelas "Asas: Mulakan Bisnes e-Dagang Anda Bersama Shopee x MCMC" adalah berkenaan kaedah persediaan kedai di Shopee, pusat penjual, kaedah menguruskan pesanan pelanggan, pusat pemasaran dan pengurusan sistem kewangan di aplikasi Shopee. Seterusnya, peserta didedahkan dengan teknik untuk membuat promosi di profil kedai Shopee dengan cara sasaran iklan, iklan khas Shopee dan iklan program penghantaran percuma, kriteria untuk menjadi penjual yang paling disukai serta kaedah penjenamaan produk dan tetapan kategori produk jualan menggunakan kata kunci.
Akhir sekali, peserta dikehendaki melengkapkan borang maklum balas dengan mengimbas kod QR yang diberikan sebagai tanda penyertaan ke program latihan Shopee dan turut dibekalkan sijil penyertaan beserta nota pembentangan slide sebagai rujukan pada masa hadapan. Tambahan pula, pihak Shopee juga menghantar emel kepada peserta berkenaan pautan video ulangan yang dimainkan semula bagi rujukan buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai program ini pada masa siaran sedang berlangsung.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: